KOTA KINABALU, SABAH – Status yatim piatu bukan penghalang mendapatkan keputusan cemerlang, jelas graduan Fakulti Perubatan Sains dan Kesihatan (FPSK), Mohd Fazri bin Karim yang mendapat keputusan dengan PNGK 3.62.
Fazri yang berumur 24 tahun anak bongsu daripada 10 orang adik-beradik meluahkan perasaan terharu dan tidak menyangka bahawa dirinya akan menamatkan pengajian tepat pada waktunya.
Beliau yang berasal dari daerah Papar, Sabah menyatakan bahawa beliau masih menunggu penempatan untuk tujuan latihan kedoktoran.
“Saya telah kehilangan ibu bapa saya. Support system saya adalah kawan baik saya, termasuk adik-beradik saya.
“Mereka sentiasa menyokong saya dari awal hingga akhir,” luahnya.
Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadi salah satu sumber kewangan beliau sepanjang pembelajarannya.
“BKNS membantu saya dalam membayar yuran program perubatan, memandangkan program perubatan adalah salah satu program yang mempunyai yuran yang agak mahal,” ujarnya.
Katanya lagi, melanjutkan pengajian sarjana merupakan perancangan masa depannya yang ingin dipenuhi.
“Saya ingin menjadi doktor bedah, selepas bekerja saya akan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang kata-kata semangat terutama kepada individidu yatim piatu sepertinya, Fazri berpesan agar jangan mudah putus asa, carilah peluang kerana peluang sentiasa ada untuk kita semua.
Sebagai rekod, seramai 693 graduan yang telah hadir dalam Majlis Konvokesyen UMS Sidang 2 yang bertempat di Dewan Canselor UMS yang disampaikan Tan Sri Azman Hashim, Penasihat Kehormat Ambank Group merangkap Pro-Canselor UMS.





