KENINGAU, SABAH – Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik telah memberi sumbangan tajaan dalam bentuk tunai bagi pembukaan akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,075 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor Keningau.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor mengumumkan sumbangan itu ketika berucap semasa merasmikan Hari Apresiasi Kecemerlangan Pelajar SMK Bingkor di dewan sekolah tersebut baru-baru ini.
“Saya menyokong penuh agar program i-Saraan KWSP ini diperluas dalam kalangan pelajar agar dapat memupuk sikap menabung dalam kalangan murid semenjak seawal usia 14 tahun,” katanya.
Penyerahan penajaan tersebut telah disampaikan oleh Robert sendiri kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bingkor, Cikgu Dorothy Amping.