PITAS, SABAH – Seramai 166 orang mangsa banjir di daerah Pitas dan Paitan kini ditempatkan di lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan susulan hujan lebat sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata jumlah itu, setakat laporan 8 pagi tadi, membabitkan sebanyak 41 keluarga.
“Daripada jumlah itu, seramai 91 mangsa adalah golongan dewasa dan warga emas, manakala 75 mangsa adalah golongan kanak-kanak.
“Terdapat dua PPS di Paitan iaitu Dewan Kampung Kubanbangan dan Dewan Kampung Batangon Darat mankala tiga PPS di beroperasi di Pitas ialah Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu, Surau Kampung Sibuang dan Dewan Kampung Kusilad.
“Trend semasa situasi banjir menunjukkan peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka hujan sangat lebat (amaran bahaya) berterusan hari ini di kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.





