
KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2024 Peringkat Negeri disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, sambutan berkenaan merupakan yang julung kali diadakan secara besar-besaran.
“Pada hari ini, 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat hadir dan kita turut mengalu-alukan kehadiran kira-kira 300 pengunjung dari luar negara yang sama-sama meraikan sambutan pada kali ini.
“Selain itu, saya juga teruja apabila ada kalangan pengunjung yang datang mengenakan baju tradisi suku kaum masing-masing dan kita inginkan semangat sebegini berterusan dalam apa jua acara yang diadakan.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri selaku penganjur utama dan selepas ini, perayaan-perayaan utama negeri akan disambut dalam skala yang lebih besar selaras dengan polisi yang digariskan oleh kerajaan negeri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan tersebut ketika ditemui media di sini, pada Sabtu.
Majlis berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Pada majlis tersebut, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah turut berkesempatan menyampaikan angpau dan buah tangan kepada 30 warga emas yang terpilih.
Antara yang hadir ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan, Datuk Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Phoong Jin Zhe.
Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah, majlis juga diserikan dengan pelbagai persembahan pentas antaranya persembahan seksofon, tarian singa dan naga, persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan. — JABATAN PENERANGAN SABAH