2 Pegawai Polis AS Disiasat Selepas Mengasari Anggota Tentera Berkulit Hitam Dengan...

2 Pegawai Polis AS Disiasat Selepas Mengasari Anggota Tentera Berkulit Hitam Dengan Semburan Lada Ke Muka

0
SHARE
Dalam gambar ini yang dipetik daripada rakaman video polis Windsor, salah seorang pegawai polis AS menggunakan agen penyembur pada muka Caron Nazario...

WASHINGTON – DUA (2) pegawai polis Amerika Syarikat (AS) disiasat selepas tular satu rakaman video yang jelas memperlihatkan mereka mengasari seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berkulit hitam.

Rakaman video yang tular itu menunjukkan dua pegawai polis menahan seorang anggota tentera berkulit hitam sambil mengacukan senjata dan melepaskan semburan lada ke muka mangsa.

Leftenan Caron Nazario yang berkulit hitam dan berbangsa Latin, berulang kali menanyakan apa kesalahannya dan menyifatkan penahanannya sebagai tidak masuk akal kepada anggora polis yang mengacukan pistol kepadanya.

Memetik sumber laporan AFP, pihak polis pula mendakwa mereka memintanya keluar daripada kenderaannya tetapi menuduhnya tidak bekerjasama.

Petikan gambar daripada rakaman video menunjukkan Caron Nazario keluar daripada kenderaannya selepas semburan lada oleh anggota polis Windsor, Joe Gutierrez (kiri)…

Nazario, yang berpakaian seragam tentera, ketika itu sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang baharu dan ditahan polis kerana kenderaannya belum dipasang plet nombor pendaftaran tetap.

Gabenor Virginia, Ralph Northam, dalam satu kenyataan, berkata beliau mengarahkan polis menjalankan siasatan bebas terhadap kes itu, yang beliau sifatkan sebagai mengganggu dan menimbulkan kemarahannya.

Sementara itu, menurut laporan yang dipetik oleh Washington Post, Nazario yang juga pegawai pentadbiran kesihatan Virginia National Guard, memandu kenderaannya pada 5 Disember ketika ditarik keluar polis terbabit.

Rakaman daripada kamera badan pegawai polis dan telefon bimbit Nazario tersebar dengan cepat pada hujung minggu lalu selepas Nazario mengemukakan tuntutan pada 2 April, menuntut ganti rugi AS$1 juta (RM4.14 juta).

Berdasarkan tuntutan yang difailkan, pihak polis didakwa mengancam akan menamatkan kerjaya tenteranya sekiranya beliau bercakap mengenai tingkah laku mereka.

Nazario berkata tuntutannya bertujuan memastikan warga Virginia selamat ketika berinteraksi dengan polis kerana penguatkuasaan undang-undang perlu adil lagi saksama dan anggota polis harus bertanggungjawab.