KOTA KINABALU: Sebanyak 35 buah rumah setinggan di daerah ini telah dirobohkan dalam operasi Perobohan Koloni Setinggan Siri 2/2025, semalam.
Polis Kota Kinabalu dalam satu kenyataan berkata, perobohan rumah setinggan itu dilakukan setelah dikenal pasti sebagai penempatan haram yang menimbulkan risiko keselamatan serta menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan membanteras penempatan haram tetapi juga mengelakkan kawasan tersebut daripada menjadi lokasi kegiatan jenayah, penempatan Pendatang Tanpa Izin (PTI), penyalahgunaan dadah, serta pelbagai gejala sosial lain.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Kota Kinabalu menegaskan bahawa operasi seperti ini akan terus dijalankan secara berperingkat bagi memastikan Kota Kinabalu bebas daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat amat penting dalam menjayakan usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya akan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dengan melaksanakan operasi perobohan akan datang.
Operasi ini dijalankan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).