KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 39,250 pelajar tingkatan lima Sabah mula menduduki peperiksaan SPM hari ini di 315 Pusat Peperiksaan seluruh negeri.
Kertas pertama pada jam 7.45 pagi tadi ialah subjek Bahasa Melayu dan yang terakhir nanti pada 2.30 petang 22 Mac.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mistrine Radin berkata semua Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah telah diaktifkan.
“Ia langkah proaktif memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan bencana alam ekoran hujan lebat,” katanya.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan menyediakan laporan harian peperiksaan dan Bilik Gerakan Negeri juga akan menghantar laporan kehadiran calon ke Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan KPM selewat-lewatnya pada jam 4.00 petang setiap hari peperiksaan menggunakan e-Kehadiran.
“Saya berdoa agar Peperiksaan SPM dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini…
“Justeru itu, saya ingi berpesan dan menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada calon agar dapat memastikan calon dapat hadir awal ke pusat-pusat peperiksaan…
“Sentiasalah menyemak Jadual Waktu Peperiksaan SPM serta membawa kelengkapan peperiksaan yang secukupnya serta elakkan melakukan salah laku peperiksaan dalam bentuk apa sekalipun,” katanya dalam kenyataan hari ini.





