61 Penumpang Pesawat Voepass Maut Terhempas Di Kawasanan Kejiranan Sao Paulo

61 Penumpang Pesawat Voepass Maut Terhempas Di Kawasanan Kejiranan Sao Paulo

0
SHARE
Kapal
Sebuah pesawat penumpang Voepass terhempas di sebuah kawasan kediaman Sao Paulo ( Sumber Foto: Gambar tular dalam laman media sosial )

VINHEDO, BRAZIL – Sebuah pesawat penumpang Voepass terhempas di sebuah kawasan kediaman Sao Paulo pada Jumaat mengorbankan kesemua 61 orang di dalamnya.

Tiada mangsa dilaporkan terbunuh di kawasan kejiranan terlibat yang terletak kira-kira 80 kilometer dari pusat bandar.

Syarikat penerbangan Voepass berkata pesawatnya, turboprop enjin berkembar ATR 72, menuju ke lapangan terbang antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo dengan 57 penumpang dan 4 anak kapal ketika ia terhempas di Vinhedo.

Ia menyediakan manifes penerbangan dengan nama penumpang namun tanpa kewarganegaraan mereka.

Kenyataan mereka sebelum ini menyatakan terdapat 58 penumpang.

“Syarikat kesal untuk memaklumkan bahawa kesemua 61 orang dalam penerbangan 2,283 meninggal dunia di lokasi.

“Pada masa ini, Voepass mengutamakan pemberian bantuan tanpa had kepada keluarga mangsa dan secara berkesan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kemalangan,” kata Voepass dalam satu kenyataan.

Ia merupakan nahas syarikat penerbangan paling maut sejak Januari 2023, apabila 72 orang maut di dalam pesawat Yeti Airlines di Nepal yang terhenti dan terhempas ketika membuat pendaratan.

Pesawat itu juga adalah ATR 72, dan laporan akhir menyalahkan kesilapan juruterbang.

Mengikut laporan AP, pada satu acara di selatan Brazil, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva meminta orang ramai berdiri dan berdiam diri seminit semasa beliau berkongsi berita itu lalu mengisytiharkan tiga hari negara berkabung.

Setiausaha keselamatan awam Sao Paulo Guilherme Derrite mengesahkan tiada mangsa yang terselamat ditemui.

Beliau juga berkata kotak hitam pesawat itu telah ditemui.