LOS ANGELES – Pengacara rancangan bual bicara terkemuka di Amerika Syarikat (AS), Larry King yang berusia 87 tahun telah disahkan positif COVID-19.
Berdasarkan sumber dekat dengan keluarga, King, 87, sudah lebih seminggu ditempatkan di hospital di Pusat Perubatan Cedars Sinai di sini.
Berikutan protokol hospital, tiga (3) anak lelaki kepada personaliti televisyen berpengaruh itu tidak dibenarkan melawat bapanya.
Memetik laporan BH Online, King yang disahkan menghidap diabetes tahap dua, dilaporkan mengalami siri masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, termasuk serangan jantung dan menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1987.
Pada 2017, King disahkan mengalami kanser paru-paru dan berjaya menjalani pembedahan bagi mengubati penyakit berkenaan, selain satu lagi prosedur pembedahan dua tahun kemudian bagi merungkai masalah angina (sakit dada).
Susulan pelbagai masalah kesihatan dialaminya, beliau kemudian menubuhkan Yayasan Jantung Larry King untuk membantu golongan yang tidak mempunyai insurans kesihatan mendapatkan perkhidmatan perubatan.
King menjadi hos rancangan bual bicara ‘Larry King Live’ di agensi berita, CNN selama 25 tahun, yang antara lain menemu bual calon presiden, selebriti, atlet, pelakon tersohor dan orang ramai.
King bersara pada 2010 selepas mengacarakan lebih 6,000 episod yang disiarkan secara langsung di rangkaian agensi berita CNN.
Persaraan ikon rancangan terkemuka itu tidak bertahan lama apabila beliau kembali menceburi industri, dua tahun kemudian, menerusi rancangan ‘Larry King Now’.
Rancangan disiarkan tiga kali seminggu, menerusi Ora Tv, iaitu rangkaian saluran digital atas permintaan itu diasaskan secara bersama dengan pelopor industri telekomunikasi Mexico, Carlos Slim.
Pada tahun lalu, dua anak King dilaporkan meninggal dunia, selang seminggu.
Andy, 65, menghembuskan nafas terakhir berikutan serangan jantung pada akhir Julai lalu, disusuli anak perempuannya, Chaia, 52, yang meninggal dunia, pada bulan berikutnya selepas disahkan menghidap kanser paru-paru.





