
KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan meningkatkan catuan bekalan air kepada kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata beliau sentiasa mengambil maklum terhadap talian ‘careline’ (khidmat pelanggan) JANS yang kerap menjadi rungutan orang awam.
“Pada bulan lepas saya telah menerima aduan berkenaan dengan careline yang tidak memberikan respons yang sepatutnya dari pegawai mahupun kakitangan.
“Mereka mengambil teguran tersebut dan saya berharap agar ianya dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata JANS sedang menghadapi kekangan jumlah tenaga kerja dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk menambah pekerja baru tetapi akan mengambil masa.
Berkenaan air tidak terhasil (non revenue water) , yang menjadi cabaran kerana kes kecurian air yang berlaku tinggi di Sabah, Shahelmey berkata satu mekanisme sedang difikirkan bagi menanganinya.
“Untuk memulihkan bekalan air, jabatan air juga sedang giat melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk mengurangkan non revenue water dari 60 peratus kepada peratusan yang lebih rendah.
“Sekiranya ini dapat kita jayakan menjelang hujung tahun ini, bekalan air yang sepatutnya akan dapat dinikmati oleh pengguna.
“Kita akan dpt mengesan kawasan yang mengalami tekanan air… sistem tersebut membolehkan pegawai JANS lakukan tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan ditemui media selepas meraikan anak-anak Rumah Anak Yatim dan Asnah Sakinah Taman Pantai Lok Kawi dan juga pengamal media di Sabah dalam satu majlis iftar anjuran Pejabat Ahli Parlimen Putatan di sini, semalam.