Usul Penyerahan Semula Hak Kawal Selia Bekalan Gas Bakal Dibawa Ke DUN...

Usul Penyerahan Semula Hak Kawal Selia Bekalan Gas Bakal Dibawa Ke DUN Sabah

0
SHARE
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyempurnakan upacara memotong kek sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas 2022 Parti Bersatu Sabah di Dewan Hakka, Teluk Likas, Kota Kinabalu...(Sumber Foto: Ihsan JKM)

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah bakal membawa usul penyerahan semula kuasa mengawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dalam persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 10 Januari depan.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu persidangan terbabit adalah untuk membahaskan penyerahan kuasa berkenaan susulan keputusan Kabinet persekutuan yang meluluskan perkara itu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pihaknya menyifatkan perkara tersebut sangat penting berikutan ia sudah lama diperjuangkan menerusi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini sudah lama diperjuangkan oleh pemimpin kita termasuk Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika beliau menjadi menteri persekutuan sebelum ini…

“Pada 10 Januari ini kita akan mengadakan satu sidang khas DUN untuk menerima penyerahan kawal selia gas ini kepada Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada rumah terbuka sambutan Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS), di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis terbabit, Presiden Parti Bersatu Sabab (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pada itu, Hajiji juga berkata penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas itu juga antara perkara yang diperjuangkan pihaknya bagi memastikan hak negeri dalam MA63 ditunaikan.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana inilah yang kita perjuangkan selama ini untuk memastikan bahawa hak kita dalam MA63 dapat ditunaikan…

“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri (sekarang) telahpun menunjukkan kesediaan mereka untuk menyerahkan hak kita iaitu kepada negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Maximus yang juga meripakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menyifatkan tindakan Perdana Menteri menunaikan hak kawal selia bekalan gas kepada Sabah, baru-baru ini merupakan satu petanda baik.

Katanya, perkara itu memang telah ada dalam agenda perundingan dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, katanya masih terdapat perkara berkaitan perundangan yang perlu diselesaikan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana nampaknya cepat bertindak. Kita memang konsisten dalam memperjuangkan perkara ini melalui pasukan peguam kita supaya kuasa kawal selia gas ini dapat diserahkan…

“Saya yakin jika ini adalah petanda yang baik, banyak lagi akan menyusul kerana hanya perlu mengubah suai perundangan termasuk tuntutan berkaitan pengembalian 40 peratus hasil dan tunggakan geran khas Sabah,” katanya.