PITAS, SABAH – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia( APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkerjasama membantu merobohkan sebuah rumah bertempat di Kampung Mempakad Laut.
Seramai 20 anggota dari Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD) telah digerakkan bagi membantu kerja-kerja perobohan rumah tersebut bagi mengelakkan kemusnahan kepada 13 buah rumah yang lain di perkampungan tersebut.
Keputusan bagi merobohkan rumah ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Bencana yang dilaksanakan di PKOB Pitas semalam.
Kampung Mempakad terjejas akibat fenomena air pasang besar dan ombak besar pada 23 Dis yang lepas mengakibatkan 13 buah rumah musnah dan 53 yang lain rosak.
Bantuan sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Pengukuhan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam” yang menekankan aspek menjalin hubungan kerjasama di antara organisasi dan agensi awam dalam menangani isu dan krisis yang melanda negara.