
PASIR GUDANG, JOHOR – Barisan Nasional (BN) akan menggunakan cara berkempen lebih berhemah dan berfakta semasa Pilihanraya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ianya bagi mengelak pendekatan dan penyampaian yang tidak digemari oleh pengundi.
“Semua jentera BN haruslah berkempen dengan secara berhemah dan bijaksana manakala maklumat disampaikan mesti tepat dan betul sehingga tidak sekali memfitnah…
“Jentera BN mesti bertindak secara bijaksana dan wajar mempelbagaikan pendekatan serta strategi bagi menghadapi pengundi Johor yang berbeza sikap dan pemikiran.

“Keadaan semasa mencabar dan situasi tidak sama, maka, BN mesti bekerja lebih luar daripada kebiasaan dalam menghadapi PRN pada kali ini,” katanya selepas mengiringi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Haji Baharudin Mohd Taib, ke pusat penamaan calon di Stadium Tertutup Pasir Gudang dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno bahagian Pasir Gudang Datuk Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno jentera BN tidak perlu terikut-ikut dengan budaya kempen parti lawan yang lebih banyak menebur fitnah dan melakukan serangan peribadi dimana budaya inilah yang mereka bawa semasa Pilihanraya Umum (PRU-14) sehingga rakyat terpengaruh.
“Selama 22 bulan mereka memerintah rakyat telah berfikir dan fintah yang mereka taburkan hanya senjata untuk meracuni pemikiran rakyat dan manifesto yang dijanjikan gagal dilaksanakan sehingga setuasi politik kucar kacir dan ekonomi negara semakin terjejas,” katanya.

Sehubungan dengan itu Bung mengingatkan , tanggungjawab besar sebagai jentera komunikasi dan penerangan UMNO BN adalah terlebih dahulu memahami latar belakang dan kedudukan serta sikap pengundi.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah mengetuai seramai 400 orang jentera parti dari Sabah membantu berkempen di empat buah DUN iaitu Dun Tiram dan Puteri Wangsa di Parlimen Tebrau dan Dun Permas dan Johor Jaya di Parlimen Pasir Gudang.
Beliau turut mengakui BN berhadapan dengan cabaran pada PRN kali ini di kawasan tersebut berdasarkan keputusan PRU-14.
Namun menurut beliau ia tidak akan melemahkan semangat jentera BN untuk melakukan gerak kerja malahan satu dorongan untuk lebih berfokus dan mengekalkan semangat juang yang tinggi untuk memastikan kawasan tersebut kembali ke tangan BN.
“Insyallah BN akan digemari pengundi jika maklumat dan kaedah kempen yang disampaikan dengan cara betul.
“Semua ini penting kerana rakyat dan pengundi di PRN Johor menilai BN. Maka jentera parti mesti berkempen kepada keseluruhan rakyat Johor dan tidak hanya kepada ahli parti sahaja.
‘Tanggungjawab besar ialah memastikan pengundi di Johor bersama BN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.