Kempen Vaksinasi Nasional Diperluaskan Ke Kawasan Pedalaman Sabah

Kempen Vaksinasi Nasional Diperluaskan Ke Kawasan Pedalaman Sabah

0
SHARE

KOTA MARUDU, SABAH – Kempen vaksinasi nasional yang sedang berlangsung telah diperluaskan ke kawasan pedalaman Sabah iaitu Mukim Kampung Sungai Magandai bermula semalam.

Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Kota Marudu itu telah disertai oleh sekumpulan doktor, jururawat dan beberapa wakil dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan menaiki pancuan empat roda bagi memastikan masyarakat di LIMA (5) buah mukim yang berada di kawasan pendalaman Sonsogon tidak tercicir dari program vaksinasi nasional ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sejumlah 300 orang di sekitar kawasan tersebut telah dikenal pasti untuk menerima vaksin dalam fasa pertama ‘Program Outreach’ Kota Marudu ini.

Ongkili bersembang dengan salah seorang jururawat yang terlibat dalam Program Vaksinasi di Sungai Magandai…

“Terdapat lebih daripada 700 penduduk kampung dari lapan kampung, di kawasan perbukitan ini. Dari jumlah tersebut, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim ini,” katanya pada pelancaran Program Vaksinasi yang berlangsung selama tiga hari itu, iaitu sebahagian daripada ‘Program Outreach’ Kota Marudu yang sedang dijalankan di daerah ini.

Ongkili beramah mesra dengan salah seorang penduduk kampung selepas merasmikan Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai, Selasa lalu…

Setakat pertengahan bulan ini, data menunjukkan bahawa sejumlah 15,265 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di Kota Marudu, dan dari angka tersebut, 6,018 telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka, sementara 1, 949 telah menerima kedua-duanya dos.

Dalam memuji Program Outreach Vaksinasi COVID-19, beliau menambah program tersebut memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman yang mempunyai kesukaran untuk bergerak keluar dari kawasan mereka.

Ongkili memberi galakan dan semangat kepada salah seorang penerima vaksin di Kampung Sungai Magandai, sambil diperhati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Hendrus Anding dan ahli rombongan yang lain, Selasa lalu.

“Walaupun saya melihat sambutan hari ini (semalam) agak perlahan, namun memberangsangkan kerana menjelang tengahari, lebih ramai yang tampil untuk divaksinasi. Kami berharap agar lebih ramai yang hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,” katanya.

Ongkili, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, mengatakan bahawa kempen vaksinasi yang sedang berlangsung ini bertujuan untuk mencegah penularan COVID-19, dan seterusnya dapat menamatkan pandemik ini di Malaysia.

“Walaupun vaksin ini bukanlah penawar, sekurang-kurangnya ia dapat membina antibodi kita untuk melawan virus yang membawa maut ini. Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu sebelum melindungi orang lain…

“Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pada majlis itu, Ongkili juga menyampaikan sumbangan kerusi roda dan beberapa keperluan, sumbangan dari Pejabat Parlimen Kota Marudu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek, kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang kurang upaya, Shalvendra Sius, yang diwakili oleh ibunya, Jasika Linggin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda kepada Jasika Linggin yang mewakili anaknya berusia enam tahun yang kurang berupaya, dan turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Hendrus Anding (dua dari kiri), Pegawai Daerah Kota Marudu, William Ahlan (empat dari kiri) dan ahli rombongan yang lain selepas perasmian Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai, Selasa lalu…