KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah telah menangkap 277 individu sepanjang ENAM (6) bulan pertama tahun ini.
Mereka membabitkan 97 buah kes yang dikesan menerusi TIGA (3) operasi iaitu Op Kontraban, Op Benteng dan Op Khazanah.
Dalam pada itu pelbagai jenis barangan bernilai RM18.9 juta juga dirampas.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata kejayaan di daerah seluruh negeri itu adalah hasil risikan dan maklumat diterima daripada orang awam.
Beliau menjelaskan tangkapan paling ramai berjaya dilakukan di Daerah Tawau membabitkan 154 individu diikuti Daerah Beluran iaitu seramai 78 orang, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA di Kinarut.
Pecahan tangkapan individu membabitkan kesalahan mengikut Akta Imigresen iaitu sebanyak (127 orang), Akta Dadah (80 orang), Akta Kastam (40 orang), Akta Barang Kawalan (21 orang), Akta Racun (empat orang), Akta Hidupan Liar (tiga orang), Akta Perhutanan (dua orang) dan Akta Senjata Api (satu orang).
“Kejayaan enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 148 kes dan 412 tangkapan serta RM12.2 juta rampasan,” katanya.
Tambah beliau, usaha pemantauan dan risikan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang kegiatan jenayah dilakukan di kawasan perairan dan sempadan negeri ini.
“Kumpulan penjenayah sempadan dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika penularan pandemik Covid-19 untuk menjalankan kegiatan mereka…
“Namun penguatkuasaan undang-undang membabitkan lima batalion iaitu Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu dan BN 18 PGA Beluran akan terus dilaksanakan,” katanya.





