KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pendidikan Usahawan dan Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) menjemput mereka yang lebih berkemampuan untuk tampil menghulurkan bantuan sekampit beras.
Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata, Projek Sekampit Beras bertujuan membantu meringankan bebanan 50 buah keluarga di kawasan Papar dan Kota Kinabalu yang telah hilang punca pendapatan ekoran pandemik COVID-19.
“Ramai yang telah menghubungi pihak kami untuk meluahkan rasa kesusahan yang dialami sehingga ke satu tahap mereka terpaksa menahan kelaparan berikutan kekurangan makanan,” katanya.
Beliau berkata dengan melihat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan melalui berapa fasa lagi dijangka sehingga Disember tahun ini, pasti ramai yang akan terus terjejas dengan kekangan kewangan.
“Saya ingin menjemput rakan-rakan menyertai projek ini bagi sama-sama membantu meringankan sedikit beba mereka yang berada dalam kesempitan…
“Semoga dengan sokongan dan bantuan infaq sekampit beras dari rakan-rakan, projek ini dapat dijalankan dengan jayanya.
“Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa baik anda. Terima kasih kami ucapkan,” katanya sambil menambah ia merupakan projek terakhir MASESA bagi tahun ini.
Kepada yang berminat, sekampit beras 10 kg boleh terus dihantar ke lokasi MASESA di Cyber City Phase 1, Jalan Lintas Kepayan.
Ainie berkata sumbangan sekampit beras 10 kilo dengan harga RM 26.50 dalam bentuk sumbangan tunai boleh disalurkan ke akaun:
CIMB Bank 7072534417 Ainie Jamin atau AFFIN Bank 201560070052 Nur Amelia Izzaty dengan kata rujukan “Beras”.
Menurutnya, setakat ini hanya sekampit berjaya dikumpul dan MASESA merancang untuk menghulurkan sekurang-kurangnya satu kampit untuk setiaap satu keluarga.





