Maritim Malaysia Tahan Bot Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Dan Rosakkan Dasar Laut...

Maritim Malaysia Tahan Bot Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Dan Rosakkan Dasar Laut Sabah

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan menjarah hasil laut negara dalam di Kudat semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot peronda Zon Maritim Kudat menerusi Op Pluto Timur, telah mengesan bot nelayan asing terbabit dalam keadaan mencurigakan di perairan Kudat pada sekitar jam 8.00pagi.

Katanya, berdasarkan struktur fizikal, anggota Maritim mengesyaki bot terbabit adalah bot nelayan asing Vietnam dan terus melakukan pemintasan bagi pemeriksaan.

Bot penceroboh nelayan Vietnam terbabit…

“Bot terbabit ditahan pada jarak sekitar tujuh (7) batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu, Pitas…

“Bot tanpa sebarang nombor pendaftaran itu dikendalikan tujuh (7) orang kru termasuk tekong warga Vietnam lingkungan umur 35 hingga 50 tahun yang telah ditahan,” katanya.

Turut dirampas, 3000 liter bekalan diesel, hasil gamat serta peralatan menangguk gamat yang seterusnya diiring ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Hasil gamat yang dijarah dari perairan negara…

Boon berkata anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500,000.00.

“Bot terbabit menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk menjarah gamat yang diperbuat daripada besi yang sangat berat dan ianya mampu memecahkan batu-batu karang di dasar laut ketika ditunda…

“Ianya merupakan peralatan yang tidak dibenarkan serta tidak digunakan oleh nelayan-nelayan tempatan,” jelasnya.

Peralatan digunakan mereka untuk menangkap gamat yang sangat mengancurkan ekosistem laut…

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Jika sabit kesalahan,tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta manakala kru atau awak-awak sebanyak RM 600 ribu setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucut hak.