KOTA KINABALU, SABAH – Bekas juara sukan badminton dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei, dilantik menjadi Duta Pelancongan Sabah sehingga Disember tahun depan.
Beliau yang juga legenda badminton negara berterima kasih di atas peluang berkenaan dan berkata akan berusaha untuk membangkitkan sektor pelancongan negara.
“Sejak pandemik melanda dunia, kehidupan ramai rakyat berubah menjadi lebih susah. Saya berharap untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah apabila sempadan negara dibuka sepenuhnya nanti…
“Sabah negeri yang cukup terkenal. Orang akan sering bercakap pasal Sabah semasa saya mengikuti pertandingan badminton di China dan Taiwan dulu.
“Saya juga berharap untuk membawa keluarga saya ke sini dan juga mempromosikan negeri ini kepada seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin mengumumkan bahawa ada perancangan bagi menubuhkan akademi badminton Lee Chong Wei di Sabah.

“Semalam, Lee dan rombongan Kementerian telah besua dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan berbincang mengenai hal itu…
“Negeri ini juga boleh dijadikan sebagai destinasi berlatih untuk pengunjung dari luar negara. Jika ini menjadi realiti, ia akan sekaligus membantu industri pelancongan negara.
“Namun, Lee kena terlebih dahulu menikmati sendiri apa keindahan semula jadi yang ditawarkan Sabah, baru ada cerita,” katanya lagi.
Jafry berkata kerjasama yang dijalinkan sangat tepat bagi lebih mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan dunia.





