LFK Transport Percaya POIC Sabah Pelabuhan Terbaik, Berinfrastruktur Komprehensif

LFK Transport Percaya POIC Sabah Pelabuhan Terbaik, Berinfrastruktur Komprehensif

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Pelabuhan laut di sini dilihat sebagai masa depan hab pergerakan kargo masuk dan keluar dari pantai timur Sabah yang mampu meningkatkan prospek ekonomi di Lahad Datu dan ke seluruh Pantai Timur.

Seorang usahawan wanita di sini meletak kepercayaan penuh kepada infrastruktur ini dengan membeli plot perindustrian di POIC Lahad Datu untuk asas perniagaan logistiknya yang beroperasi selama 20 tahun.

Joey Yong, pengasas dan pemilik Syarikat Pengangkutan LFK (LFK Transport) percaya bahawa POIC Lahad Datu merupakan pelabuhan yang baik dan berinfrastruktur komprehensif.

“Rancangan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Lahad Datu dan wilayah lain, contohnya negara terkandung dalam BIMP-EAGA, akan menarik pertumbuhan menyeluruh…

“Kami menjangkakan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan logistik ke kawasan pedalaman,” katanya.

Lahad Datu mempunyai dua pelabuhan, satu dikendalikan oleh POIC Lahad Datu dan satu lagi oleh Sabah Ports Sdn Bhd.

LFK Transport yang bermula di Sandakan, menandatangani perjanjian jual beli dengan POIC Sabah Sdn Bhd, untuk plot seluas satu (1) ekar sebagai ibu pejabat perniagaannya. Syarikat berkenaan kini beroperasi dari premis yang disewa di situ.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Pengerusi POIC Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Datuk Fredian Gan.

Fredian mengalu-alukan penyertaan LFK Transport sambil berkata tindakan tersebut menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan terhadap prospek perniagaan Lahad Datu.

“Kami di POIC Lahad Datu membayangkan Lahad Datu sebagai hab logistik masa depan di rantau ini dan pada itu kami telah mengetepikan tanah khas untuk PKS…

“Pada skala yang lebih besar, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk membangunkan kesalinghubungan antara Lahad Datu dan seluruh dunia dengan membina lapangan terbang dan terminal feri antarabangsa yang akan menjadi perhatian global terhadap potensi ekonomi BIMP-EAGA,” katanya dalam sebuah kenyataan.