Kenaikan Mendadak Harga Simen Paksa Pemaju Naikkan Harga Hartanah Di Sabah

Kenaikan Mendadak Harga Simen Paksa Pemaju Naikkan Harga Hartanah Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kenaikan mendadak harga simen di Sabah akan memaksa pemaju untuk menaikkan harga hartanah daripada 5 peratus (5%) kepada 10 peratus (10%).

Demikian kata Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) Datuk Chua Soon Ping mengulas peningkatan kos bahan mentah dan kadar pengangkutan laut yang turut mempengaruhi harga simen.

Beliau berkata, satu-satunya loji simen di Sabah, Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) telah menaikkan harga simen daripada RM297.20 satu tan metrik (MT) kepada RM 342.20 satu MT iaitu peningkatan sebanyak RM 45.

Chua berkata kenaikan harga simen akan membawa impak ketara kepada pemaju di Sabah kerana simen merupakan bahan utama yang digunakan untuk konkrit siap campur dan membentuk sehingga 50 peratus (50%) daripada nilai binaan struktur.

“Simen juga memainkan peranan penting dalam kemasan mortar, papan simen, dinding berlepa, dan lantai. Ia akan membawa pelbagai kesan kepada bahan binaan lain yang dikaitkan dengan simen,” katanya.

Chua berkata kenaikan harga simen adalah di atas kenaikan harga bahan lain, termasuk bar keluli, bar tetulang, dawai tembaga, paip PVC, serta kos logistik yang semuanya meningkat antara 20% hingga 30%.

Kenyataan kenaikan harga simen yang dikeluarkan Cement Industries Sabah pada Khamis…

“Bagaimanakah (pemaju) boleh mengurangkan kos jika kos bahan binaan telah meningkat sebanyak 20% hingga 30%?” soal Chua.

Beliau berkata pemaju mungkin terpaksa menyerap kos untuk projek sedia ada atau yang sedang berjalan kerana tidak dapat lagi menaikkan harga jualan menurut Permit Pengiklanan dan Lesen Pemaju.

Walau bagaimanapun, untuk projek baharu, pemaju mungkin perlu melaraskan semula harga mereka untuk memenuhi kos yang semakin meningkat untuk melindungi kerugian.

“Dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dihentikan tahun depan dan ditambah dengan peningkatan kos, kami boleh menjangkakan harga rumah tidak akan sama tetapi akan meningkat kepada margin lain antara 5-10 peratus,” katanya.

Kos bahan binaan yang semakin meningkat akan memberi kesan buruk kepada industri hartanah, terutamanya projek rumah mampu milik akan menghadapi risiko yang lebih tinggi.

“Ini pasti akan menjejaskan pemulihan ekonomi kita…

“Walaupun Belanjawan Negara 2022 telah memperuntukkan RM2 bilion untuk pekerja gig dan kumpulan B40 untuk mendapatkan pinjaman melalui Credit Guarantee Corporation, kenaikan harga bahan mungkin tidak membantu kumpulan sasar untuk membeli dan memiliki rumah.

“Rumah mampu milik bukan mudah bagi pemaju swasta jika kerajaan hanya memberi subsidi,” jelasnya.

Meskipun begitu beliau menggalakkan ahli SHAREDA untuk membangunkan lebih banyak hartanah berasaskan tanah bagi memenuhi permintaan tempatan yang tinggi.