KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menggesa agar peruntukan menyelenggara dan membaik pulih sekolah daif di Sekolah Rendah Kebangsaan Darau dapat disegerakan.
Katanya, sehingga kini terdapat 12 buah sekolah sekitar kawasan Sepanggar yang dikenalpasti daif dan tidak selamat untuk diduduki serta memerlukan perhatian segera.
Justeru itu, beliau meminta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian terhadap sekolah daif tersebut termasuklah pembaikan segera infrastruktur bangunan demi keselamatan murid dan guru.
“Awalnya kita sudah buat lawatan dan sebab lawatan dari Pejabat Parlimen ini barulah Jabatan Pendidikan Negeri dan juga KPM melihat keperluan untuk membantu SK Darau ini.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat mengalu-alukan supaya peruntukan ini disegerakan dan juga saya mahu supaya dilihat juga ada lebih kurang 12 sekolah daif terdapat di Parlimen Sepanggar ini yang juga memerlukan peruntukan dalam kadar segera supaya kita dapat membantu mereka terutama yang daif dan berada dalam keadaan tidak selamat untuk diduduki.
“Jadi saya minta supaya KPM dan juga agensi-agensi yang lain dapat melawat sekolah-sekolah daif ini dan mengambil tindakan yang sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Acara Mencelik Mata Singa di Inanam pada Sabtu.
Terdahulu, Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dalam tinjauannya ke SK Darau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan memohon peruntukan sebanyak RM500,000 dari Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelenggaraan dan pendawaian bangunan di sekolah tersebut.
Jelas Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, tujuan memohon peruntukan itu adalah berikutan keadaan beberapa buah bangunan sekolah itu kini berada pada skala tujuh.






