Sindiket Dadah Terbesar Sabah Akan Didakwa Di Kota Kinabalu

Sindiket Dadah Terbesar Sabah Akan Didakwa Di Kota Kinabalu

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

LABUAN – Kes sindiket dadah 11 individu termasuk dalang yang bergelar seorang Datuk dari Semporna akan didakwa di Kota Kinabalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan dan Operasi) Bukit Aman, DCP Datuk Zainudin Ahmad berkata, Jabatan Peguam Negara telah membenarkan proses pendakwaan.

Sindiket itu berkembang daripada aktiviti seludup sehingga menjadi rangkaian dadah terbesar di Sabah yang meluas ke Filipina dan Indonesia.

Difahamkan, sindiket itu bermula dengan mendapatkan bekalan dadah dari Filipina namun mula menyeludup keluar dari Sabah ke negara jiran apabila langkah penguatkuasaan Filipina dipertingkatkan.

“Pihak polis kini mempunyai alasan yang kukuh untuk membawa kes ke mahkamah.

“Semua aset milik ahli sindiket yang dikenal pasti berkaitan dengan kegiatan dadah itu telah dirampas.

“Beberapa daerah di Sabah seperti Tawau dan Semporna dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan aktiviti dadah kerana berdekatan dengan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

“Walau bagaimanapun, keadaan di Labuan masih terkawal,” katanya pada sidang media selepas Bengkel Pemerkasaan Komuniti Mencegah Penyalahgunaan Dadah dan Pengalihan Sosial di Dewan Serbaguna Labuan pada Sabtu.

Zainudin berkata prosiding mahkamah itu akan menandakan peristiwa penting dalam usaha negara memerangi jenayah berkaitan dadah di rantau ini dengan pihak berkuasa secara aktif menangani cabaran yang semakin berkembang.

Sejak penahanan sindiket terbabit pada 25 Dis tahun lepas, polis telah merampas pelbagai aset, antaranya 22 akaun bank mengandungi RM420,000 yang telah dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000, dan wang tunai berjumlah RM35,000.

Polis percaya Datuk Uppik, yang juga penaung sebuah NGO telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah keluar dari Sabah selama lebih lapan tahun.