Semua Calon Dinasihatkan Bertanding, Berkempen Dengan Cara Sihat Dalam Pemilihan PBBS

Semua Calon Dinasihatkan Bertanding, Berkempen Dengan Cara Sihat Dalam Pemilihan PBBS

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pemangku Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Ruslan Muharram menasihatkan semua calon yang bertanding dalam pemilihan PBBS supaya berkempen dengan cara yang sihat.

Beliau yang juga wakil rakyat Lumadan dan calon bertanding jawatan Presiden PBBS berkata, pemilihan dalam persatuan ini bersifat ‘Keluarga Bisaya’ dan sewajarnya hubungan baik ini berkekalan.

Katanya, semua juga harus fokus kepada pemerkasaan bangsa Bisaya melalui pemilihan ini bagi mencari kepimpinan terbaik untuk menerajui PBBS sekaligus mengangkat martabat kaum tersebut.

“Berkempen secara sihat dan gunakan budi bicara matang dalam meraih sokongan tanpa melibatkan provokasi melampau yang dikhuatiri mewujudkan perpecahan…

“Tujuan pemilihan ini bukan untuk memecah belahkan kesatuan kita tetapi lebih kepada memilih kepimpinan kita agar PBBS mampu terus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Bersama Calon dan Perwakilan Sempena Mesyuarat Agung PBBS 2021 anjuran PBBS Zon Kota Kinabalu yang dipimpin Abdullah Okin di Prapeni Thai, di sini, kelmarin.

Perwakilan daripada 15 cawangan PBBS Zon Kota Kinabalu hadir di majlis itu termasuk calon-calon yang bertanding di semua jawatan sempena pemilihan PBBS pada 18 Disember depan.

Sementara itu, Abdullah yang merupakan adik kepada Allahyarham Janang Gayuh, Datuk Seri Lajim Ukin berikrar akan memperkasa ekonomi kaum Bisaya sekiranya diberi kepercayaan pada pemilihan kali ini.

Beliau yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PBBS berkata, usaha ini melibatkan projek pertanian dan perkilangan yang dilihat mampu bukan saja meningkatkan ekonomi kaum Bisaya tetapi juga peluang pekerjaan.

Katanya, antara perancangannya adalah membuka kilang pemprosesan padi untuk dijadikan beras dan segala usaha sudah disiapkan bagi memastikan ia direalisasikan.

“Kertas kerja pembinaan kilang padi PBBS sudah siap.. Inisiatif ini mampu mengangkat ekonomi kam Bisaya khususnya ahli PBBS dan pada masa sama akan menyumbang kepada dana persatuan kita…

“Selain itu, saya juga akan memperkasa seni kebudayaan Bisaya khususnya melibatkan budaya muzik serta tarian kaum ini sebagaimana yang saya lakukan semasa menjadi Naib Presiden PBBS sebelum ini.

“Paling penting, saya akan meneruskan segala agenda allahyarham abang saya (Datuk Seri Lajim) untuk memastikan PBBS khususnya bangsa Bisaya terus setanding dengan kaum lain dalam semua bidang,” tegasnya.