SEBERANG PERAI – Tindakan sebuah restoran di Kepala Batas, Seberang Perai yang dikatakan menjual sepinggan hidangan kailan ikan masin dengan harga RM18 sebungkus mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Rata-rata netizen menganggap ianya terlalu mahal dan tidak munasabah serta menggelarkan sebagai ‘kailan ikan masin kayangan’.
Perkara itu mula tular di laman sosial Facebook semalam selepas pelanggan berkenaan berkongsi gambar resit dan hidangan itu sambil mendakwa harganya sukar untuk diterima jika dibandingkan dengan saiz hidangan yang terlalu kecil hanya untuk seorang makan.
Susualan daripada kejadian itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang segera bertindak dengan menghantar penguatkuasa mereka turun ke lapangan bagi menyiasat berkenaan aduan yang diterima pada hari yang sama.

KPDNHEP memberi tempoh DUA (2) HARI kepada peniaga restoran berkenaan kerana didakwa menjual kailan ikan masin terlalu mahal dan tidak setara kuantiti yang diberikan.
“Satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) diberikan kepada pemilik restoran dan peniaga perlu memberi maklum balas berhubung harga tersebut dalam tempoh dua hari bekerja sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” kata KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.





