Kerajaan Negeri, 3 Syarikat Pelabur Berhubung Projek ‘SkyTrain’ Meterai MoU Untuk Wujudkan...

Kerajaan Negeri, 3 Syarikat Pelabur Berhubung Projek ‘SkyTrain’ Meterai MoU Untuk Wujudkan Kerjasama Formal – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Memorandum Persefahaman MoU yang ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri bersama TIGA (3) syarikat pelabur berhubung projek ‘SkyTrain’ hanya bertujuan untuk mewujudkan kerjasama formal tanpa ikatan.

Demikian kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin selaku Menteri Kerja Raya.

Beliau mengulas gesaan dari Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar (SEPA), Encik Alexander Yee, yang dikemukakan dalam sebuah artikel berita pada 3 Disember lalu.

Artikel berkenaan bertajuk: “Dapatkan pandangan orang ramai dulu mengenai projek SkyTrain, Kerajaan Sabah diberitahu” yang disiarkan Free Malaysia Today.

“Projek ini masih dalam perancangan dan perbincangan awal yang melibatkan pihak Kerajaan Negeri melalui anak syarikat cabang pelaburan Negeri Sabah Qhazanah Sabah Berhad (QSB), WHSB Ventures Sdn Bhd dan Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan China Guangchai China (M) Sdn Bhd,” katanya.

MoU tersebut telah ditandatangani keempat-empat syarikat berkenaan pada 29 November bulan lalu.

“MoU itu bertujuan untuk meneroka lebih lanjut segala aspek perancangan, penyediaan cadangan, kaedah pelaksanaan projek pengoperasian perkhidmatan, dan lain-lain perkara yang berkaitan sementara menunggu rundingan akhir yang membawa kepada perjanjian ikatan yang rasmi antara kesemua pihak yang terbabit,” jelasnya.

Menurutnya, projek pembangunan itu adalah untuk manfaat rakyat dan negeri Sabah secara keseluruhannya.

“Sebagaimana projek-projek pembangunan yang lain, perlaksanaan projek ini sudah pasti tidak terkecuali daripada keperluan undang undang, iaitu penyediaan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA)…

“Mengenai saranan untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai perlaksanaan projek ini, pihak Kerajaan Negeri Sabah bersikap terbuka dan mengalu-alukan saranan atau pandangan ini,” katanya.

Walaubagaimanapun, Bung berkata, ianya hanya akan dilaksanakan pada peringkat yang tertentu.

“Ini kerana buat masa ini, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan awal melibatkan pihak Kerajaan Negeri dan syarikat pelabur,” ujarnya.