ATB 2 Gagalkan Cubaan Masuk 42 PATI Filipina Ke Sabah

ATB 2 Gagalkan Cubaan Masuk 42 PATI Filipina Ke Sabah

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Cubaan 42 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Filipina untuk menyusup masuk ke Sabah berhampiran Bangau-Bangau, sini, disangkal pasukan keselamatan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) semalam.

Pada mulanya, DUA (2) buah laju bot dikesan TRILAT 01, iaitu pesawat jenis C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam rondaan Op BENTENG BERSAMA pada pukul 10.45 pagi.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tinjauan udara telah mengesan tiga buah bot dari arah Pulau Sitangkai, Filipina.

“Pengesanan tiga (3) buah bot tersebut dilaporkan kepada Malaysia Maritime Command Centre (MCC) berpusat di MK ATB 2 untuk tindakan lanjut…

Bot laju dinaiki PATI warganegara Filipina yang diusur ATB 2…

“KD BAUNG yang berada berhampiran lokasi kejadian turut dihubungi oleh TRILAT 01 dan Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 untuk memantau ketiga-tiga bot tersebut.

“KD BAUNG diarahkan untuk mengekori dan memantau bot tersebut sehingga VIPER 02 dan VIPER 05 Tim QRF tiba di lokasi tersebut,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF kira-kira sejam selepas itu.

Hasil pemeriksaan kedua-dua bot menemui PATI yang terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan lapan (8) kanak-kanak perempuan tanpa sebarang dokumen.

“Hasil pemeriksaan rapi yang telah dilaksanakan turut mendapati barangan yang ditemui hanyalah barang-barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal…

“VIPER 02 dan VIPER 05 telah diarahkan untuk mengusir kedua-dua bot tersebut keluar dari perairan Sabah pada pukul 12.02 tengah hari.

“Fast Interceptor Craft (FIC 04) bersama Tim PASKAL dan QRF di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) telah diaturgerakan ke perairan Pulau Pom Pom bagi mengesan bot yang meloloskan diri.

“Walau bagaimanapun, bot tersebut berjaya meloloskan dari pasukan keselamatan yang dijangkakan telah berpatah balik ke sempadan antarabangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

OP BENTENG BERSAMA merupakan Kerjasama bersepadu di antara tiga (3) pekhidmatan pasukan keselamata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TUDM.

Abdul Karim menegaskan bahawa ianya gambaran kerjasama yang erat di antara ketiga-tiga perkhidmatan ATM dalam mengaturgerakkan aset-aset perkhidmatan bagi penyatuan rondaan yang efektif melibatkan kesemua elemen yang ditugaskan di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Operasi sebegini akan sentiasa diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak COVID-19,” ujarnya.