KUALA LUMPUR – Cuaca signifikan diramalkan bermula pada 27 hingga 29 Disember ini di beberapa kawasan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam.
MetMalaysia dalam satu kenyataan yang dipetik Facebook rasminya berkata, luruan monsun dijangka berlaku bagi tempoh tiga hari melibatkan kawasan di Pantai Timur Semenanjung.
“Kebarangkalian untuk berlaku hujan berterusan di kawasan tersebut adalah rendah berikutan paras kelembapan udara yang rendah…
“Namun hujan berterusan berpotensi berlaku di Sabah Timur dan Sarawak Barat dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Tambah MetMalaysia, angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung mulai 26 hingga 29 Disember 2021.
“Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan ke kawasan-kawasan terlibat dan sentiasa peka dengan maklumat terkini cuaca,” katanya.





