KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani isu banjir yang sering berlaku di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, situasi banjir yang kerap kali berlaku di negara ini bukanlah perkara biasa.
Katanya, selain faktor perubahan iklim dunia, banjir juga berlaku kerana pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan penyelanggaran sistem saliran yang tidak sempurna.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata beliau sering kali membangkitkan isu tersebut di dewan rakyat bahawa isu banjir bukanlah perkara baru tetapi sudah menjadi satu ancaman kepada negara dan rakyat.
“Kerajaan perlu ada perancangan jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini yang tidak hanya bergantung dengan jawatan kuasa sementara semata-mata…
“Jawatankuasa berkenaan perlu ada perancangan jangka masa panjang untuk menangani isu banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan keperluan asas dari UMNO Sabah untuk mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda Shah Alam dan kampung Labihan Dagan Banting kelmarin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut berpandangan bahawa dalam masa yang sama, kerajaan perlu bertindak untuk melengkapkan aset-aset kelengkapan bantuan penyelamat dan anggota agar cepat digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat apabila berlaku fenomena banjir luar biasa.
Bung juga meminta sektor korprat dan badan-badan NGO agar turun padang membantu mangsa di Selangor yang terjejas teruk dengan kejadian banjir yang berlaku minggu lepas.
Katanya bukan sahaja bantuan dalam bentuk kewangan yang diperlukan, namun bantuan lain termasuk tenaga sukarelawan untuk membersihkan kekotoran dan sampah sarap di dalam rumah akibat kesan banjir.

“Meskipun banjir mula surut namun mereka masih perlukan bantuan berterusan kerana tugas pada fasa pasca banjir lebih mencabar berbanding keadaan semasa banjir…
“Penduduk yang terjejas bukan sahaja perlukan bantuan tapi sokongan moral dan kita wajar buktikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ dalam membantu mereka,” katanya.
Tambah Bung, UMNO sendiri yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut turun padang membantu mangsa banjir selain bantuan keperluan asas dan kerja-kerja pembersihan yang digerakkan oleh Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.





