KUCHING, SARAWAK – Sarawak beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini (3 Jan) dan SOP baharu bagi negeri ini akan mula dikeluarkan pada hari esok (4 Jan).
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, SOP tersebut akan dikendalikan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
“Rakyat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan SOP ditetapkan walaupun Sarawak berada dalam Fasa Empat PPN,” menurut JPBN dalam satu kenyataan malam tadi.
Pada 31 Dis lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat PPN bermula hari ini (3 Jan).
Hishammuddin berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).






