Lee Zii Jia Perlu Pertimbang Semula Keputusan Tinggalkan BAM

Lee Zii Jia Perlu Pertimbang Semula Keputusan Tinggalkan BAM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj menasihatkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mempertimbangkan keputusannya untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, tindakan Zii Jia tidak kena pada masanya kerana banyak kejohanan utama akan berlangsung pada tahun ini selain ia menjejaskan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, lapor Berita Harian.

“Bukan kata tidak boleh menjadi profesional tetapi ini bukan masa yang tepat. Tahun ini ada banyak kejohanan utama seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia selain Olimpik Paris yang tinggal dua tahun lagi…

“Zii Jia tidak boleh buang masa, persiapan perlu bermula dari sekarang. Kita bercakap mengenai dia mahu menjadi jaguh dunia dan memenangi emas Olimpik dan tempat yang terbaik untuk dia buat persiapan adalah di BAM yang memiliki semua fasiliti yang diperlukan oleh pemain,” katanya.

Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM turut mempertahankan badan induk itu yang diyakini mengambil tindakan berdasarkan peraturan dalam badan induk berkenaan.

“BAM sebuah persatuan dan pastinya mempunyai peraturan. Saya percaya apa yang dilakukan BAM adalah mengikut bidang kuasa yang dimiliki mereka selain mengikut terma yang dipersetujui oleh pemain dalam kontrak yang ditandatangani.

“Jadi, adalah lebih elok kedua-dua pihak kembali duduk berbincang dan mencari satu penyelesaian yang menguntungkan kedua-duanya. Sebagai pemain, Zii Jia juga harus tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya. BAM pula sebagai majikan mungkin boleh ambil pendekatan bertolak-ansur,” katanya.