Permintaan Mendadak Antara Punca Kekurangan Bekalan Telur Ayam

Permintaan Mendadak Antara Punca Kekurangan Bekalan Telur Ayam

0
SHARE

PUTRAJAYA – Peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa serta selepas cuti Tahun Baharu Cina merupakan salah satu punca gangguan bekalan telur ayam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, gangguan bekalan juga terjadi kerana terdapat ladang ternakan ayam dan telur serta syarikat logistik yang tidak beroperasi dalam tempoh cuti perayaan tersebut.

“Semua faktor itu menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak…

“KPDNHEP mengambil maklum isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku ketika ini yang dilaporkan oleh media serta orang ramai di media sosial dan telah mengambil tindakan awal yang perlu bagi mengenal pasti punca dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Azman, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari ataupun 930 juta biji sebulan berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Malaysia.

Sementara itu, data itu juga menunjukkan sebanyak 839,281,658 biji telur ayam telah dikeluarkan pada bulan Disember 2021.

“Unjuran pengeluaran telur ayam bagi bulan Januari 2022 pula adalah sebanyak 839,882,296 biji telur ayam…

“Manakala, sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan.

“Peratusan ini menunjukkan bahawa bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia,” jelasnya.