KOTA KINABALU, SABAH Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) bersedia bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau parti Malaya jika diberikan status rakan kongsi sama rata.
Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau hanya mahu memberikan manfaat kepada semua pihak di Sabah.
“Kalau mereka letak syarat bila sudah masuk jangan minta itu, minta ini, jangan suara ini, tiada maksud juga. Kalau sekiranya ia baik untuk parti, kita dan rakyat, kita akan pertimbangkan…
“Kalau kata gabungan atau bersekutu, kita mesti sebagai ‘equal partner’ itu yang kita mahu tahu,” lapor Sinar Harian.
Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu juga turut mencadangkan parti tempatan negeri ini bersatu dalam sebuah gabungan yang didaftarkan bagi menuntut hak rakyat Sabah.
“Kita bukan mahu berkonfrontasi cuma Kuala Lumpur (Persekutuan) harus beri kita penghormatan.
“Kita kena bekerja dengan parti dari Persekutuan sebab bekerja dengan Sarawak sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Bekas Menteri Luar Negara itu juga bersetuju dengan cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan parti yang rasmi.
“Dari awal saya katakan ini bagus…kita bukan ketepikan UMNO tetapi kita terus kepada GRS.
“Semua ahli parti tempatan sama ada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan lain-lain dengan menggunakan lambang sama,” tambah beliau.





