BANGKOK, THAILAND – Sebanyak 20 negara di Asia ‘diserang’ Omicron iaitu satu varian Covid-19 yang amat mudah berjangkit dan menjadi punca kepada sebahagian besar kematian akibat Covid-19 di benua itu.
Memetik laporan The Nation Thailand, seorang pensyarah Fakulti Perubatan di Universiti Chulalongkorn, Thira Woratanarat berkata, sejumlah 90.11 peratus kes baharu Covid-19 dan 80.64 peratus kematian di Asia, Eropah serta Amerika Utara dipercayai berpunca daripada varian Omicron.
“Di Eropah sahaja, Omicron merangkumi 52.43 peratus kes baharu dan 29.43 peratus kematian akibat Covid-19,” katanya…
Tambah Thira, walaupun wabak Omicron semakin reda di banyak kawasan, namun terdapat peningkatan di Amerika Selatan, Oceania dan Asia.
“Sehingga 20 negara Asia termasuk Thailand mencatatkan trajektori menaik berdasarkan kes Covid-19 mingguan dan kematian,” ujarnya.
Menurut Thira, tidak mudah untuk Thailand melonggarkan langkah sekatan seperti negara-negara lain berikutan faktor seperti perbezaan dalam keberkesanan vaksin, bilangan orang yang mendapat pelalian dan infrastruktur.
Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan untuk membendung penularan Omicron secara berhati-hati dan berdasarkan fakta untuk mencegah kerugian.
“Mendakwa bahawa Omicron kurang berbahaya daripada varian Delta tidak mencukupi untuk dijadikan sandaran dalam membuat keputusan,” katanya…
Beliau turut berkata, kerajaan perlu sedar bahawa terdapat kemungkinan pandemik Covid-19 akan berterusan dan menimbang kesannya terhadap rakyat, sektor kesihatan awam dan kesejahteraan negara.





