KADAR ZAKAT FITRAH SABAH KEKAL RM7.00, SOLAT TARAWIH BERKAPASITI PENUH – MUFTI...

KADAR ZAKAT FITRAH SABAH KEKAL RM7.00, SOLAT TARAWIH BERKAPASITI PENUH – MUFTI SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar mengumumkan bayaran zakat fitrah kekal pada kadar RM 7 bagi tahun ini berasaskan harga sukatan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah ini.

“Saya sebagai mufti kerajaan Sabah mengisytiharkan bahawa kadar zakat fitrah bagi tahun 1443 Hijriah bersamaan tahun 2022 Masihi adalah sebanyak RM7 sahaja ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata umat Islam dibenarkan mengerjakan solat Tarawih mengikut kapasiti penuh masjid di seluruh negeri Sabah dengan penjarakan sosial berdasarkan sejadah.

“Alhamdulillah prosedur operasi standard (SOP) Tarawih pada tahun ini diberikan kelonggaran dengan membenarkan semua masjid di negeri ini berjemaah dengan kapasiti yang penuh…

“Setakat ini sejadah yang lazim dipakai, tidak terlalu kecil atau besar, maknanya, Alhamdulillah, saya fikir lebih daripada separuh kapasiti jemaah boleh masuk,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Wisma Muis hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dari segi saf jemaah adalah rapat namun tidak bertemu bahu serta kaki mengikut sejadah yang dibawa masing-masing.

Beliau berkata Sabah masih mengekalkan SOP sebelum ini.

“Yang penting lengkap menerima vaksin, pemakaian pelitup muka dikekalkan dan tidak ada bersentuhan, bersalaman atau berpelukan (masih lagi dilarang)…

“Bagi moreh pula, digalakkan membawa makanan secara berbungkus dan majlis Tadarus Al-Quran adalah dibenarkan dengan masa yang dihadkan,” jelasnya.