Ops Pantau: Lima Pengusaha Termasuk Peniaga Bazar Ramadhan Dikompaun

Ops Pantau: Lima Pengusaha Termasuk Peniaga Bazar Ramadhan Dikompaun

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Lima pengusaha premis termasuk peniaga bazar Ramadan dikenakan kompaun sebanyak RM2,200 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Pantau yang dijalankan di seluruh Sabah sejak 3 April lalu berjaya mengesan pelabagai kesalahan dalam 614 pemeriksaan premis termasuk gerai.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, ianya juga bagi memastikan peniaga menyediakan barangan pada harga yang munasabah dan tiada unsur pencatutan dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan.

“Di samping pemeriksaan premis tradisi seperti pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya, hypermarket dan kedai runcit, kita juga akan mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan bazar Ramadan serta kedai makan yang menjual juadah berbuka puasa…

“KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang tinggi di sesebuah premis atau gerai dengan melibatkan semakan harga bahan mentah dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar dan pemborong. 

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika peniaga didapati bersalah menyorokkan barang kawalan dan mencatut seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihaknya memfokus pemantauan bekalan serta harga barang, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), tanda halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 mengikut Akta 342.

“Kita juga akan meningkatkan keberadaan membabitkan hampir 200 anggota penguatkuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli belah yang selamat dan beretika,” tambahnya…

Beliau menegaskan agar peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan dan pengguna untuk merancang perbelanjaan serta memiliki pengetahuan berkenaan kedudukan harga barang bagi mengelakkan daripada tertipu.