PRU15: BERSATU Tidak Akan Bekerjasama Dengan PH

PRU15: BERSATU Tidak Akan Bekerjasama Dengan PH

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

KUALA LUMPUR – BERSATU telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan media tempatan semalam berkata, BERSATU juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan BERSATU.

Beliau menyatakan demikian berhubung laporan media mengenai kerjasama BERSATU dan PH dalam PRU-15.

Menurut Muhyiddin yang juga pengerusi PN, BERSATU akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama PAS, Gerakan, SAPP dan STAR Sabah.

Ini jelasnya sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.

“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, Bersatu bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU-15 melibatkan PN, BN, PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding,” katanya.

Dengan tiadanya kerjasama dengan PH, bermakna banyak parti akan bertembung sesama sendiri untuk menentang BN, termasuk GTA pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.