TUARAN, SABAH – Kegagalan cerun mengakibatkan Jalan Pulak Pahu Nulu yang menghubungkan daerah Ranau dan Kiulu di kilometer 19.2 sini, runtuh, dan terpaksa ditutup sejak semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Ir Ali Ahmad Hamid berkata, syarikat penyelenggaraan jalan telah diarahkan untuk membuat penutupan jalan dan pemantauan di lokasi selain memasang papan tanda amaran.
“Sebahagian laluan di kawasan berbukit yang menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu runtuh disebabkan kegagalan cerun di laluan berstatus Jalan Negeri,” katanya sambil menambah ianya dikategorikan sebagai merbahaya.
Laluan tersebut tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan dan runtuhan tanah masih berlaku.
Kata Ali, jalan berkenaan dikhuatiri akan terputus sepenuhnya pada bila-bila masa saja disebabkan cuaca hujan yang masih berterusan.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 petang kelmarin yang berpunca daripada hujan berterusan…
“Pengguna jalan raya disarankan supaya menggunakan jalan alternatif iaitu laluan Jalan Tomis Tiong Lokub.
“Pengguna jalan juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam pemanduan dan peka dengan keadaan sekeliling jalan,” katanya.





