KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, hari ini (26 Mei) mendapati bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, 50, didapati BERSALAH atas pertuduhan memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Azura berkata, selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadap Peter.
Pada 18 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi memberi keterangan pada prosiding membela diri yang bermula pada 9 Februari lalu.
Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Peter sebelum ini didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.
Untuk rekod, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie sebelum ini turut ditahan SPRM mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara tahun 2009 hingga 2015.
Shafie kemudiannya dibebaskan semasa kerajaan PH memerintah dimana Pejabat Peguam Negara memutuskan kes berkenaan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) dan ‘kes untuk simpan’ (KUS) kerana bukti tidak mencukupi.





