KUALA LUMPUR – Satu platform yang dipanggil EduData telah dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membekalkan maklumat kepada pelbagai pihak berkepentingan.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan berkata, maklumat dalam EduData dikumpulkan daripada platform seperti MyMOHEs iaitu sistem yang digunakan untuk mengumpul data dari semua universiti awam dan e-IPTS untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Perkara ini juga disebut oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengalaman Malaysia Melaksanakan Pembelajaran Sepanjang Hayat Yang Mampan dan Inklusif melalui Edudata’ di EduData Summit 2022 (EDS) di New York pada Jumaat.
Menurut beliau, data berkenaan dapat membantu dalam merangka inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk menambah baik kurikulum dan latihan sebelum pelajar memasuki pasaran kerja yang kompetitif.
“Kami dapat mempergiatkan kolaboratif akademik-industri untuk jangka panjang bagi merapatkan jurang antara kelayakan graduan kami dan pekerjaan yang tersedia di pasaran,” katanya.
Selain itu, Noraini menjelaskan bahawa data yang diperoleh dapat menjadi alat pengukuran penarafan yang mencerminkan kualiti IPT di Malaysia.
“Walaupun kami akui bahawa kualiti pendidikan tinggi boleh diukur dalam pelbagai cara, kami juga percaya ranking mencerminkan kualiti…
“Ini terbukti apabila kesemua lima universiti penyelidikan kami disenaraikan dalam 50 terbaik universiti terbaik di Asia.
“Selain itu, salah satu universiti kami (Universiti Malaya) disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dalam QS World Universities Ranking 2023, secara keseluruhan, empat universiti disenaraikan dalam 200 teratas,” katanya.
Noraini berkata, pihaknya menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025 dan untuk mencapai sasaran ini, universiti tempatan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah program cawangan luar negara atau offshore.





