Punca Keracunan Makanan Pemain Badminton Jemputan Malaysia, Thailand Disiasat

Punca Keracunan Makanan Pemain Badminton Jemputan Malaysia, Thailand Disiasat

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Punca kes yang disyaki keracunan makanan yang dialami pemain jemputan dari Malaysia dan Thailand setelah sarapan pagi di hotel pada Jumaat dalam siasatan Jawatankuasa penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022.

Menurut jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia Broto Happy, pihaknya amat bersimpati dan prihatin atas perkara tersebut yang diketahuinya melalui sosial media.

“Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan…

Namun, beliau berkata, pemain terlibat telah dirawat di hospital yang tiada kaitan dengan jawatankuasa penganjur atau hotel rasmi kejohanan.

Tempat makan para pemain dan pegawai juga dipisahkan dengan tetamu hotel mulai hari ini untuk mencegah kejadian berulang.

Setelah koordinasi dengan jawatankuasa penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggesa pengurus pasukan mengingatkan pemain agar berhati-hati memesan makanan dari luar hotel atau makan makanan tertentu.

Sementara itu, Broto berkata, hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan yang tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

“Kalau keracunan makanan, kesannya serta-merta,” kata Dr Grace Corlesa Joselini yang merupakan doktor kejohanan.

Ujar beliau, pemain yang menginap di dua hotel rasmi kejohanan bebas memesan makanan secara dalam talian atau makan di restoran berhampiran.