Sabah FC Tewaskan Negeri Sembilan FC, Mara Tempat Kedua Liga Super

Sabah FC Tewaskan Negeri Sembilan FC, Mara Tempat Kedua Liga Super

0
SHARE

SEREMBAN – Pertembungan pasukan Sabah FC dan Negeri Sembilan FC malam semalam akhirnya memihak kepada Sang Badak dengan keputusan 1-0.

Perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekaligus memberikan kelebihan kepada Sabah FC untuk merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Negeri Sembilan FC.

Gol pelawat hadir pada babak kedua iaitu pada minit ke-61 menerusi tandukan pemain tengah, Park Taesu sekali gus menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang Negeri Sembilan.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, tuan rumah membuat beberapa pertukaran pemain bagi mencari gol penyamaan termasuk mengeluarkan dua orang pemain import mereka.

Bagaimanapun, Sabah FC kental mempertahankan gawang mereka sehingga tamat perlawanan sekali gus meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Selepas 10 perlawanan, Sabah FC kini mengutip 22 mata hasil tujuh kemenangan dan sekali seri.

Sementara itu jurulatih skuad Sabah Datuk Ong Kim Swee menyifatkan strategi bertahan yang cukup baik diperagakan pemain Sabah FC ternyata berkesan menahan asakan jentera serangan Negeri Sembilan FC (NSFC).

“Biarpun persembahan pemain Sabah terutama pada separuh masa pertama tidak begitu baik sehingga memberi ruang kepada Negeri Sembilan melakukan asakan ke dalam kawasan gol, gawang pasukan masih mampu bertahan dengan baik.

“Strategi bertahan yang kita pamerkan ternyata berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan Negeri Sembilan.

“Keberkesanan strategi itu memberikan keyakinan kepada diri pemain yang akhir berjaya mempertahankan gawang pasukan sehingga ke penghujung saingan,” kata Kim Swee.