BEKAS PEMBACA BERITA TV3 HILANG SEJAK NOVEMBER TAHUN LEPAS

BEKAS PEMBACA BERITA TV3 HILANG SEJAK NOVEMBER TAHUN LEPAS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas pembaca berita TV3, Zalina Shaharah Azman yang lebih dikenali sebagai Zalina Azman, 58, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu masih dalam proses pencarian yang giat dilakukan pihak polis ketika ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada keluarga personaliti TV3 itu berkaitan kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

“Dalam laporan itu, pengadu (anak Zalina) cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk (bapa Zalina) dimasukkan ke hospital namun gagal…

“Pada 29 November, pengadu dan bapa saudaranya pergi ke rumah ibunya di Seksyen 3 dan mendapati kereta ibunya berada di tepi rumah,” katanya.

Jelasnya, pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun. Turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

“Bagaimanapun, ibunya tidak dijumpai. Segala usaha mencari sudah dijalankan namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Justeru, Mohd Iqbal berkata, pihak polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa kepada umum hari ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyiarkan gambar Zalina dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai maklumkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

Untuk rekod, Zalina memulakan tugas di TV3 sejak 1990, dan pada 2002 melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang  kewartawanan selama setahun di London.

Zalina terkenal sebagai pengacara beberapa program bual bicara, termasuk Money Matters, selain sebagai pembaca berita.