LAHAD DATU, SABAH – Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini ialah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’
Pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin, berkata sambutan itu akan mengetengahkan satu pembaharuan yang melibatkan peringkat komuniti dan keluarga, di seluruh negara.
“Ia jelas digambarkan menerusi tiga warna pada logo Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, yang menunjukkan kebersamaan rakyat sebagai Keluarga Malaysia yang hidup bersatu dan aman damai.
“Ia juga mengambarkan bagaimana rakyat komited untuk terus maju dalam suasana yang penuh cabaran, namun masih mampu menikmati teknologi terkini seperti jalur lebar serta wifi, yang menjadi pengikat, penghubung dan asas kepada kesalinghubungan kehidupan dan ekonomii,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Mizma Appehdullah, pemimpin Pembangunan Masyarakat N61 Segama, kelmarin.
Beliau juga menggesa masyarakat di daerah ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang walau di mana pun mereka berada.
Di peringkat daerah Lahad Datu, beberapa program telah diatur sempena sambutan Bulan Kebangsaan, termasuk Merdeka@ Komuniti iaitu Malam Mesra Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.61 Segama, Mizma Appehdullah, bersama peserta konvoi Kembara Keluarga Malaysia dan pelepasan Konvoi Kembara keluarga Malaysia di beberapa lokasi di daerah Lahad Datu sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.





