JaPen Ranau Anjur Program Merdeka @ Komuniti Di Tiga Buah Kampung

JaPen Ranau Anjur Program Merdeka @ Komuniti Di Tiga Buah Kampung

0
SHARE

RANAU, SABAH – Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Ranau menganjurkan Program Merdeka @ Komuniti di Kampung Sumbilingon, Kg. Takutan dan Kg. Toboh Lama.

Penganjuran program tersebut mampu memupuk kesedaran masyarakat tentang erti kemerdekaan di samping mendorong belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan selain bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Pegawai JaPen Ranau, Kenny Thomas berkata ketiga-tiga kampung tersebut menjadi lokasi seterusnya bagi pelaksanaan program Merdeka @ Komuniti Daerah Ranau sepanjang bulan bersejarah tahun ini.

Menurutnya, program tersebut bertujuan menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan kali ini, selain menggalakkan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang…

Katanya, rombongan JaPen mendapat sambutan yang sangat baik semasa mengadakan program tersebut di Kg. Sumbilingon, dengan masyarakat di sini begitu teruja menyambut Hari Merdeka tahun ini.

“Program Merdeka @ Komuniti di Kg. Sumbilingon pada 20 Ogos lalu dilaksanakan dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jirin@Handdy Awis dan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Kg. Sumbilingon, Julik Awis.

“Aktiviti yang sama turut diadakan sempena program itu seperti yang kita laksanakan di kampung-kampung terdahulu sebelum ini. Nyata sekali para masyarakat di sini begitu gembira menyambut kemerdekaan kali ini,” katanya.

Kenny berkata program itu diteruskan di Kg. Takutan pada 21 Ogos lalu dengan kerjasama Ketua Kampung, Erin Laug dan juga JPKK dan Pengerusi KKM Kg. Takutan, Parvine Yudin.

Erin yang dihubungi berkata program tersebut memberi semangat kemerdekaan yang luar biasa dalam kalangan penduduk kampung, dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia.

Dari situ, program serupa seterusnya diadakan di Kg. Toboh Lama yang turut disertai oleh Pengerusi KKM Kg. Toboh Lama, Roslin Solungin.

Sementara itu, Kenny berkata kehadiran penduduk kampung yang begitu menggalakkan, mencerminkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan komuniti.

“Tema Hari Kebangsaan tahun 2022 “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” diterjemahkan dengan begitu meriah sekali dalam sambutan Bulan Kebangsaan ini melalui program Merdeka @ Komuniti Komuniti Keluarga Malaysia di semua kampung yang kami kunjungi.

“Saya yakin dan percaya bahawa semangat kekitaan dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penduduk bukanlah satu perkara baharu, malah sudah menjadi darah daging mereka sejak sekian lama.

“Semangat inilah yang kita mahu, terutama dalam menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.