KOTA KINABALU: Kanak-kanak perlu dididik mengenai penggunaan air secara bertanggungjawab dan kesedaran alam sekitar sejak usia muda bagi memastikan bekalan air negeri terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata walaupun Sabah kaya dengan sumber alam semula jadi, negeri ini masih berdepan pelbagai cabaran berkaitan air.
“Oleh itu, kepentingan air dan sistem perpaipan perlu diajar sejak kecil agar kesedaran terhadap sanitasi selamat, penggunaan air secara bertanggungjawab, serta pemuliharaan alam sekitar dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sambutan Hari Perpaipan Sedunia di Dewan Hakka pada Ahad. Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Tan Lee Fatt.
Hajiji turut menggesa Persatuan Tukang Paip Sabah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pemasangan paip di negeri ini dilakukan dengan betul, mengelakkan kebocoran dan pembaziran air.
Katanya, sambutan ini merupakan satu komitmen baharu dalam pengurusan sistem perpaipan yang lebih cekap di Sabah, sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan kepentingan rakyat, pendidikan dan ekonomi.
“Selain kerajaan, syarikat, komuniti dan individu turut bertanggungjawab dalam menghargai air dan menghapuskan pembaziran bagi mencapai pengurusan air yang lebih berkesan.
“Kerajaan negeri juga komited menyelesaikan isu warisan seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya, serta infrastruktur awam selaras dengan konsep Malaysia Madani,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Tukang Paip Sabah, Carmen Wong, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada empat aspek utama tahun ini, termasuk peningkatan kemahiran profesional, memperkukuh kerjasama industri dan kerajaan, serta mempromosikan inovasi dan kelestarian alam sekitar.
“Kami mahu tukang paip di Sabah sentiasa dilengkapi teknologi serta kemahiran terkini, memperjuangkan dasar yang lebih baik untuk kemajuan sektor ini, dan memastikan pengurusan sumber air lebih cekap dan lestari.
“Kami berharap mendapat perhatian lebih daripada kerajaan dalam membangunkan industri ini serta meningkatkan taraf hidup pekerja dalam sektor perpaipan.
“Air adalah sumber kehidupan, dan sistem perpaipan adalah kunci memastikan sumber ini terus mengalir dengan selamat ke setiap rumah. Tanggungjawab kami bukan hanya memastikan bekalan air bersih, tetapi juga membawa industri ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Carmen turut memaklumkan bahawa persatuan sedang giat melaksanakan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan mengadakan program pendidikan di sekolah bagi memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan pemuliharaan air dan peranan industri perpaipan.






