KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad, 97, disahkan positif COVID-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu disahkan dijangkiti virus berkenaan pada pagi ini.
“Dr Mahathir sudah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan buat tempoh beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod pada November tahun lalu, Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi itu mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di IJN dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan serius selepas pengambilan dos berkenaan.