JAKARTA, INDONESIA – Kerajaan Indonesia dituduh terlalu berlembut berhubung isu rasuah selepas Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia membenarkan parol kepada puluhan pesalah jenayah itu minggu lalu.
Antaranya termasuk seorang bekas pendakwa raya yang akan bebas hanya selepas setahun dipenjarakan.
Selasa lalu, kementerian itu memberi parol kepada 23 pesalah rasuah, sekali gus mengundang kemarahan aktivis antirasuah serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK), yang bertanggungjawab menyiasat hingga membawa kepada pertuduhan.
Jurucakap kementerian itu, Rika Apriyanti yang dipetik BH berkata, pembebasan awal 23 pesalah itu adalah sebahagian daripada 1,368 pesalah yang diberi keistimewaan itu, termasuk parol, pembebasan bersyarat dan pembebasan sebelum dilepaskan bulan ini.
Rika berkata, seramai 23 pesalah rasuah itu dibebaskan dari dua penjara iaitu Pusat Tahanan Sukamiskin di Bandung dan Pusat Tahanan Tangerang di Banten.
Beliau berkata, mana-mana pesalah yang memenuhi keperluan tertentu termasuk mempamerkan tingkah laku baik dan aktif menyertai program pemulihan, layak mendapat keistimewaan tambahan itu.
Katanya, keistimewaan yang diberikan itu tidak bersifat diskriminasi dan jenayah yang dilakukan tidak mempunyai kaitan dengan keputusan untuk memberikan keistimewaan terbabit.
Berdasarkan undang-undang, setiap banduan dipertimbangkan untuk diberi parol dan mereka perlu menjalani sekurang-kurangnya dua pertiga daripada hukuman dikenakan.
Antara penerima parol termasuk bekas Gabenor Banten, Ratu Atut Chosiyah dan saudaranya, Tubagus ‘Wawan’ Chaeri Wardana; bekas Hakim Mahkamah Perlembagaan, Patrialis Akbar; bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali dan bekas pendakwa raya Pejabat Peguam Negara, Pinangki Sirna Malasari.
Pinangki hanya menjalani hukuman penjara setahun daripada 10 tahun yang ditetapkan, sebelum diberikan parol pada Selasa lalu.
Dia sebelum ini didapati bersalah menerima rasuah berjumlah AS$500,000 (RM6 juta) daripada seorang ahli perniagaan, Djoko Tjandra pada Februari tahun lalu.
Biarpun dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, Pinangki mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung sebelum hukuman itu dikurangkan kepada empat tahun.
Sementara itu, Kurnia Ramadhana dari Indonesia Corruption Watch (ICW) menyalahkan Undang-undang No. 22/2022, dikenali sebagai Undang-undang Pemulihan.





