KOTA KINABALU: Seramai 1,000 muslimin dan muslimat mengimarahkan majlis tahlil, doa selamat dan Solat Jumaat sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri 2022, pada Jumaat.
Majlis yang diadakan di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Ketibaan Tun Juhar disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif serta Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Hanafiah Datuk Mohd Kassim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting manakala bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar.
Seterusnya, Bungsu turut menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama Mempertahankan Persekutuan’ sebelum solat Jumaat diimamkan oleh Suhaidi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul serta Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah, Norjeli Dais.





