78 Orang Sukarelawan Kutip 320 Kilogram Sampah

78 Orang Sukarelawan Kutip 320 Kilogram Sampah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 320 kilogram sampah berjaya dikutip oleh 78 orang sukarelawan selama 45 minit bertempat di Pantai Sutera Harbour yang dilaksanakan pada Ahad lepas.

Presiden Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA), Ainie Jamin berkata aktiviti yang dianjurkan pihaknya itu merupakan sebuah pengisian aktiviti pembersihan bersama sukarelawan sempena Hari Pembersihan Sedunia (World Clean Up Day).

Mengulas lanjut, beliau berkata 78 orang sukarelawan terdiri daripada Almacrest International College, Sabah Institute of Art, MSU College, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) Green Buddy, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan juga orang awam.

Menurutnya, pelaksanaan aktiviti pembersihan terbabit pada asalnya dijadualkan selama sejam namun telah disingkatkan selama 45 minit berikutan cuaca hujan lebat.

“MASESA mengucapkan ribuan jutaan terima kasih kepada semua peseta yang mengambil bahagian dalam Program World Clean Up kali ini…

“Tanpa mereka, program ini tidak akan berjalan dengan meriah dan diharapkan juga dapat memberikan kesedaran kepada mereka serta orang awam lain agar lebih mencintai alam sekitar.

“Walaupun dilaksanakan dan dimulakan dengan langkah kecil namun ia memberikan impak yang besar agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

“Saya menyeru agar jangan membuang sampah di merata tempat kerana ia mampu memusnahkan habitat hidupan liar dan lautan disamping turut menjejaskan kesihatan manusia secara tidak sedar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.