KOTA KINABALU, SABAH – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, Majlis Tindakan Pengguna Kebangsaan (MTPN) Sabah harus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memastikan pematuhan garis panduan dalam penjualan minyak masak dan barangan keperluan lain.
Katanya, isu semasa berkaitan harga barangan seperti minyak masak sering mendapat aduan di mana terdapat kedai yang masih tidak mengikut garis panduan KPDNHEP.
“Ini adalah perkara serius yang membebankan rakyat…
“Sebab itu, saya amat menggalakkan penglibatan MTPN dalam memainkan peranan penting untuk membantu KPDNHEP memantau peniaga di seluruh Sabah.
“Ini diharap dapat memberi laluan kepada pengguna membuat aduan yang boleh mengurangkan kes yang perlu dibawa ke balai polis atau KPDNHEP sendiri,” katanya.
Abidin yang juga Adun Paginatan bercakap kepada perwakilan MTPN ke pejabatnya, diketuai Ketuanya Sabah, Kevin Lo, Ketua Cawangan Ranau, Sharon Goh, Setiausaha, Wenny Kihog dan lain-lain baru-baru ini.
Sementara itu, Sharon berkata lawatan itu bertujuan memberi pengenalan kepada MTPN, fungsinya dan menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dalam mengadakan aktiviti dan program bersama Abidin agar dapat memberi impak positif serta mendidik rakyat tentang akauntabiliti dan hak mereka sebagai pengguna.
“Dalam lawatan itu, kami turut membincangkan mengenai kempen Derma Darah yang akan berlangsung pada 29 Oktober 2022 di Balai Raya Ranau bagi membantu Hospital Ranau mendapatkan bekalan darah dan membantu pesakit Talasemia di daerah ini.
Inisiatif ini mendapat sokongan yang menggalakkan daripada Adun.
“Pada masa yang sama, MTPN akan bekerjasama dengan Persatuan Talasemia Sabah, Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia, Hospital Ranau, Hospital Tambunan, Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Ranau, Persatuan Belia Ranau, Belia dan Sukan MTPN Cawangan Ranau serta badan kerajaan dan lain-lain badan NGO,” katanya.
Menurutnya, kempen derma darah itu juga bertujuan memupuk semangat tolong-menolong serta mengeratkan silaturahim serta muafakat dalam kalangan masyarakat dengan semua pemimpin, pengerusi, pengarah sektor kerajaan dan badan NGO.
“Sehubungan itu, bagi menghargai jasa dan keprihatinan masyarakat setempat yang menderma darah, pihak MTPN akan menyediakan goody bag yang mengandungi barangan keperluan harian.
“Pendermaan itu dijangka memberi impak positif selain meningkatkan kesedaran masyarakat dan memberi pendedahan tentang kepentingan menderma darah,” kata Sharon.





